
Masih belum terlewat rasanya untuk mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri di atas pembentangan belanjawan Negara 2010 baru-baru ini khususnya berkaitan bidang pendidikan. Baru-baru ini saya sempat menyaksikan temubual eksklusif YAB Perdana Menteri sempena lawatan YAB Perdana Menteri ke Indonesia untuk menyaksikan majlis angkat sumpah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono bersama sebuah stesen TV Indonesia. Dalam wawancara tersebut, hos tv di lihat begitu kekok ketika mewawancara beliau namun syabas saya ucapkan buat Perdana Menteri kerana menjawab soalan dengan begitu tenang dan penuh berdiplomasi serta menggunakan Bahasa Melayu yang betul tanpa terpengaruh dengan slang Bahasa Indonesia.
Dalam wawancara tersebut, Perdana Menteri telah di tanya dengan pelbagai soalan. Antaranya berkaitan isu tarian pendek, isu hak sempadan, isu kebajikan rakyat Indonesia yang berkerja di Malaysia dan banyak lagi. Saya melihat kaedah beliau menjawab setiap pertanyaan dengan penuh hikmah sehingga kadangkala mendiamkan hos rancangan tersebut yang kadangkala memprovokasi di samping di lihat sering memotong percakapan beliau. Setiap pertanyaan di jawab dengan fakta dan sebab yang rasional tanpa sebarang emosi yang mengiringi. Sudah tentu setiap jawapan ini memerlukan fakta-fakta intelektual yang lahir daripada pembacaan, pengamatan, analisis dan kemahiran membuat keputusan yang relevan.
Bagaimana pula sekiranya, kita selaku rakyat Malaysia di tanya dengan soalan-soalan berbau provokasi oleh mana-mana pihak? Bagaimanakah corak jawapan kita? Kerana itu, saya ingin mengheret sidang pembaca khususnya rakyat Malaysia di semua peringkat untuk membudayakan elemen intelektual di kalangan kita semua.
Apabila di sebut tentang Intelektual, ianya tidak bermakna melalui pembacaan semata-mata, bahkan budaya intelektual ini adalah satu gaya hidup yang berpaksikan fakta, berhujah dengan kebenaran dan mengamalkan budaya hidup yang sihat. Seringkali kita melihat di kaca tv atau melalui saluran maya, rakyat Malaysia berhujah dan berinteraksi tanpa nas dan fakta yang benar. Adakalanya kita terpaksa menutup kebenaran kerana menjaga hati orang lain tanpa berfikir kesan yang akan hadir adalah lebih buruk.
Ekosistem intelektual ini juga dapat di zahirkan melalui sistem kehidupan yang bersih dan budaya hidup yang sihat. Intelektual tidaklah terikat dengan buku atau pembacaan akademik semata-mata bahkan ianya hidup dalam sikap, tingkahlaku, serta interaksi sesama manusia.
Justeru, ayuhlah kita sama-sama merealisasikan apa yang di maksudkan dengan pencapaian 1 Malaysia yang di gagaskan Perdana Menteri. Lupakan sementara nanah-nanah kotor dalam percanggahan politik tanah air. Semaikan budaya intelek, insyaallah Negara pasti sejahtera!
Menyuburkan Ekosistem Intelektual
November 7, 2009 oleh hasifmuslim