Kegagalan dan Kejayaan

Posted: November 27, 2012 in Uncategorized

Image

 

Jika ditanya pendapat kebanyakan orang, sudah pasti semua menginginkan kejayaan. Tiada siapa mengimpikan kegagalan. Malah, tiada siapa yang mahu untuk gagal dalam apa-apa sahaja perkara yang dilakukan. Malangnya, mencipta kejayaan tidaklah semudah memetik epal ditaman, atau memetik dauh teh di cameron highlands. Kejayaan yang sebenar tidak hadir dengan hanya sekadar bermimpi dan melakukan sesuatu secara ala kadar.

Tuhan menjadikan setiap sesuatu itu berpasangan. Ada lelaki dan ada wanita. Ada langit dan ada bumi. Ada syurga dan ada neraka. Begitu juga ada kejayaan dan ada kegagalan. Hikmah dijadikan berpasangan ini adalah supaya setiap sesuatu itu saling melengkapi antara satu sama lain. 

Kegagalan dicipta sebagai tanda kasih tuhan kepada hambaNya. Dari sudut yang lain, jika kegagalan itu dilihat secara positif, ia adalah punca kepada motivasi yang begitu berkuasa. Orang yang merasai kegagalan akan lebih berhati-hati dan menghargai kejayaan yang dinikmatinya selepas itu. Malah, dia menjadi semakin mahir dan lebih berpengalaman dalam mengendalikan sesuatu perkara berdasarkan pengalaman pahit merasai kegagalan sebelum ini.

Tidaklah tuhan menjadikan kegagalan itu sebagai penamat segala-galanya didunia ini melainkan ia sebagai perhentian sementara menuju ke destinasi kejayaan yang diidam-idamkan. Thomas Alva Edison merasai ratusan kegagalan dan hanya menemui kejayaan mencipta mentol pada percubaan ke seribu. Wright brothers mengalami kerugian akibat jentera terbangnya sering jatuh sebelum akhirnya berjaya mencipta kapal terbang pertama di dunia. Begitu juga rasulullah mengalami beberapa kegagalan sebelum akhirnya berjaya menawan Makkah dalam peristiwa Fathu Makkah dan seterusnya mengibarkan panji Islam di seluruh dunia.

Orang yang dilahirkan oleh orang yang berjaya dan menikmati kejayaan orang yang melahirkannya dan hidup dalam kekayaan dan kenikmatan kejayaan orang yang melahirkannya bukanlah ditakrifkan sebagai orang yang turut berjaya. Mereka lebih tepat digelar sebagai orang yang menumpang kejayaan orang lain. Apabila orang yang berjaya itu telah tiada maka mereka harus berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan yang dibina berasaskan kemampuan dan kesungguhan sendiri.

Kegagalan adalah hakikat kehidupan. Hanya yang berani berhadapan kegagalan dan tidak takut menghadapi risiko sahaja yang akan mampu menghayati erti sebenar kejayaan. 

 

p/s: Walau pun Malaysia gagal dalam perlawanan pertama, kita perlu optimis untuk mencipta kejayaan daripada kegagalan itu. Orang yang bijak tidak akan mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang kali.

 

HasifMuslim | 27112012

 

Saya sudah lama berhenti menulis. Beberapa peristiwa penting dalam kehidupan berlaku di sebalik terhentinya saya pada post yang terakhir itu. Ada yang suka dan ada yang duka. Mungkin blog ini, setelah sekian lama menyepi, ibarat kaktus yang tandus di gurun. Memerlukan tanah, air dan cahaya yang cukup untuk menyegarkannya.

Berkahwin dan mendirikan rumah tangga, menikmati detik-detik indah dalam kerjaya dan kehidupan berkeluarga adalah satu anugerah yang cukup indah. Syukurlah, saya telah melengkapi kenikmatan hidup sebagai seorang lelaki muslim. Melengkapkan diri sebagai hamba yang akan memimpin sebuah keluarga. Membimbing isteri dan anak ke jalan yang diaturkan tuhan rabbul jalil.

Saya juga banyak menulis. Meski pun bukanlah di dalam laman ini. Saya menulis untuk orang lain. Tulisan yang dibaca dan akhirnya menjadi tajuk-tajuk utama akhbar. Tulisan saya yang tidak seberapa tetapi mungkin kerana ditulis dengan nurani hati dan wahdah fikrah yang suka memanfaati, ia menjadi besar dan bermakna. Saya bersyukur kerana tuhan mengurnia sedikit nikmat ini. Nikmat yang memberi saya sedikit kepuasan sekurang-kurangnya di dalam pelaksanaan tugasan. Tidaklah hanya tertumpu kepada satu dimensi pengetahuan yang terhad semata-mata.

Syukurlah. Hari ini, saya masih mampu tersenyum dan mempunyai rasa imaginatif untuk terus berkarya. Satu ketika, saya pernah terfikir untuk menulis sebuah buku. Insyaallah. Masanya akan sampai nanti. Kini, saya akan terus menulis. Isi hati yang mungkin sensitif di facebook, juga nanti akan tercatat disini!

 Jumpa lagi.

 Hasifmuslim

 19102012 | Jumaat

Aside  —  Posted: Oktober 19, 2012 in Uncategorized

Berlari ke Ufuk Jingga

Posted: April 14, 2012 in Uncategorized

Aku berlari sekuat hati

Menerjah belukar dan belantara tebal

Tanpa mempedulikan haiwan ganas yang asyik memerhati

Duri dipijak, bisa diendah

Aku patahkan ranting ranting yang berserakan

Biarkan sahaja ia hancur menjadi serpihan kecil

Aku lumatkan dedaunan kering ke dalam bumi

Biarkan sahaja ia musnah hilang tiada kesan

Aku terus belari ke ufuk jingga itu

Sedang ku tahu ia belum pasti

Entah realiti atau sekadar mimpi

Aku tetap berlari

Sambil menangisi di dalam hati

Aku tetap berlari

Sambil berharap ia terjadi.

WMH | Putrajaya

Image

Hijau padang thobor itu
Sebugar haruman namamu
Maahad Muhammadi yang satu
Taman ilmu membajai kalbu
Tujuh puluh lima tahun gagah memayungi
Kukuh berdiri mengasuh pertiwi
Membangunkan jiwa-jiwa gagah perkasa
Kini bertebaran ke seluruh buana

Sunguh aku sanjungi padang itu
Bukanlah ia sekadar medan
Tempat berkumpul pada cendekiawan
Filusuf dan teknokrat yang agamawan
Teruslah berdiri menjulang awan
Teruslah megah menggapai impian
Islam dijunjung, ummah dipayung.

Selamat Ulang Tahun ke 75
Maahad Muhammadi Lelaki
1937 – 2012
WMH | 1 April 2012

Memilih Di Persimpangan…

Posted: Mac 31, 2012 in Uncategorized

Image

1.  Coretan kali ini berjaya memecah rekod kerajinan saya menulis sewaktu bergelar mahasiswa pada bulan Oktober 2008 yang lalu iaitu sebanyak 11 kisah dalam tempoh sebulan. Saya bersyukur kerana masih dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus berkarya dan berpencak di alam maya ini. Sungguh saya bukanlah penulis blog yang begitu mahir dengan teknologi baharu blog moden mutakhir ini. Saya hanyalah penulis biasa-biasa sahaja yang suka mencoretkan rasa jiwa yang ada dalam hati dan minda ini.

2. Semua orang mempunyai pilihan. Sama ada pilihan itu membawa kepada kebaikan atau pun membawa kepada kemudaratan, kitalah jua yang mesti menentukan. Daripada kita kecil sehinggalah bergelar dewasa atau remaja, kita seringkali diberi pilihan. Dalam dunia akademik baik, dalam kehidupan sosial baik, percintaan, persahabatan serta perhubungan dengan alam, kita telah dan akan menghadapi situasi yang memungkinkan kita membuat keputusan.

3. Apabila kita bangun daripada tidur, kita diberi pilihan sama ada untuk terus bangun atau pun untuk terus lena dibuai mimpi. Kemudian, kita diberi pilihan sama ada untuk terus mandi atau sekadar mengambil wuduk bersolat dan melaksanakan kerja seharian. Begitulah seterusnya dalam aktiviti setiap hari kita diberi pilihan untuk memilih dan membuat keputusan berdasarkan kematangan akal dan kebijaksanaan fikiran.

4. Untuk membuat pilihan dalam situasi yang mudah seperti memilih sama ada untuk terus berjalan atau tidak, melihat atau tidak, mungkin tidak sesukar membuat pilihan dalam situasi yang melibatkan perasaan, jiwa dan masalah yang mencabar minda. Walau bagaimanapun, pilihan yang disangka mudah ini juga tidak semestinya begitu. Malah, pilihan yang disangka mudah inilah pada hakikatnya adalah pilihan yang akan menentukan langkah kita seterusnya.

5. Ramai orang mengakui bahawa setelah pilihan dibuat, manusia tidak lagi boleh menoleh ke belakang. Idea ini sebenarnya tidaklah salah. Ia bertepatan dengan prinsip masa yang tidak boleh diundur. Kerana itulah tuhan berfirman dengan masa di dalam surah al-asr. Kerana itu jualah orang-orang tua sering menyebut “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

6. Sesukar manapun kita membuat pilihan, kita mestilah menetapkan matlamat pilihan tersebut. Apa sebenarnya yang ingin dicapai. Apa kehendak kita yang sebenarnya. Adakah kita benar-benar ingin mencapai impian itu. Justeru, meskipun pilihan sesukar mana pun dibuat, dan jika pilihan tersebut salah, kita masih mempunyai ruang untuk memperbetulkannya lantas memastikan impian yang ingin digapai boleh direalisasikan.

7. Membuat keputusan dalam soal hati dan rasa adalah paling sukar. Seperti jugalah dalam memilih juadah makan, kita akan memilih berdasarkan selera kita. Namun, sebelum memilih, kita mestilah meraba kocek dan dompet terlebih dahulu untuk memastikan perbelanjaan tidak di luar kemampuan. Kita juga mestilah memastikan suasana dan hidangan yang disajikan benar-benar bersih. Dalam soal hati ini walau bagaimanapun adalah berbeza. Kerana walaupun kita dihidangkan dengan sajian bertaraf lima bintang sekali pun, jika ia tidak menepati selera kita, maka kita mungkin sukar untuk menikmati hidangan tersebut.

8. Tuhan telah mengutuskan Rasul dan Al-Kitab (Al-Quran) sebagai neraca penimbang rasa. Pepatah Melayu pernah menyebut “Ikut hati, mati, ikut rasa, binasa”. Perihal ini menceritakan kepada kita bahawa rasa itu adalah makhluk yang begitu berbahaya. Kerana itu apabila kita membuat keputusan, kita mesti meletakkan kedua-dua asas in sebagai pertimbangan.

9. Benarlah, membuat pilihan bukanlah semudah yang disangkakan. Yang penting, kita mesti memastikan matlamat yang ingin dicapai mesti menjadi realiti. Meskipun, ia selewat 20 tahun akan datang, sekiranya, pilihan telah dibuat, bulatkanlah tekad, berusahalah ke arah itu, Insyallah, impian dan harapan akan menjadi kenyataan.