Arkib untuk Mac, 2011

  1. Subuh berlalu begitu pantas, fajar juga mula menyingsing menandakan permulaan hari baru sabtu, 5 Mac 2011. Usai solat subuh, ayah meminta diri untuk pulang bagi membersihkan badannya dan meminta saya untuk terus berada disebelah toknik menemaninya solat subuh secara baring. Mata ayah turut kelihatan kusam dan tak bermaya. Mungkin keletihan terpaksa membahagikan masa berkerja dan menjaga ibunya yang sedang sakit. Ayah sesungguhnya adalah seorang anak yang cukup soleh. Moga-moga Allah turut menjadikan saya sebagaimana ayah dan tokwan.
  2. Saat saya bersendirian bersama toknik, banyak yang bermain di fikiran. Saya tidak dapat melelapkan mata selepas solat subuh apabila melihatkan jalur-jalur dan urat pembuluh darah begitu berbekas di badannya, bahkan badannya itu tidak tinggal apa-apa lagi melainkan kulit dan tulangnya serta saki baki hemoglobin yang ada. Ketika itu, apa yang terbayang adalah betapa saat-saat kematian akan menjengah kita pada bila-bila masa.
  3. Pagi tu juga, saya sempat menyuapkannya sekeping roti yang di cecah sedikit air coklat ke mulutnya. Meskipun kelihatan lemah tidak terdaya, toknik tetap nampak bersemangat menjalani hidup. Lidah dan bibirnya tidak henti mengucap syahadah, “Allah”, serta beberapa bacaan lainnya. Begitu mudah dan lancar, selancar air yang mengalir. Beliau juga meminta saya untuk mengipasnya. Katanya beliau rasa panas disebabkan baju hospital berwarna hijau itu begitu tebal membaluti tubuhnya. Anehnya, entah dari mana kekuatan saya dating, saya mampu mengipas beliau selama 1 jam setengah, tanpa henti sambil berdiri. Subhannallah! Terasa betapa kekuatan itu datang tanpa saya sedar.
  4. Tengahari itu, toknik sakit tenat lagi. Ramai saudara mara dan sahabat handai menziarahinya. Toknik seolah-olah di ambang kematian. Ibu menelefon saya yang ketika itu baru pulang ke rumah membersihkan badan setelah pulang dari hospital jam 11 pagi tersebut. Kata ibu, toknik sedang melalui sakarat. Benar. Toknik benar-benar sudah lemah. Beliau hanya mampu mengelipkan mata ketika itu. Ramai yang mengalirkan air mata dan tidak kurang juga yang membacakan beliau ayat-ayat suci alquran.
  5. Akhirnya, petang itu, toknik kembali normal. Ajaibnya kuasa Allah, toknik juga sudah boleh bernafas seperti biasa setelah merentasi saat-saat keperitan melawan kesakitan yang amat. Toknik juga mampu berkata-kata dan tersenyum. Kerana hari itu adalah Ahad, maka ramailah yang terpaksa pulang ke negeri masing-masing. Begitu juga saya, cuti selama 4 hari sudah berakhir, dan hari Isnin saya harus kembali bertugas di Putrajaya.
  6. Sebelum bertolak pulang ke Putrajaya, saya sempat singgah bertemu toknik dan menyatakan janji saya bahawa saya akan pulang minggu hadapan untuk menjaganya lagi. Dengan senyuman toknik menjawab “ Hasif, hari ini hari apa?” saya menjawab “hari Ahad toknik. “Beliau kemudiannya tersenyum lebar dan menjawab “Oh, itu lambat lagi sif, tak mengapa” seolah-olah mengetahui bahawa saat-saat minggu hadapan itu beliau tidak lagi berada di alam dunia ini. Terdetik rasa bersalah yang amat sangat didalam hati, saya terus meminta maaf dan memeluk sekujur tubuh yang usang itu. Terasa begitu dalam perasaan sayang dan kasih kepada beliau. Setelah mencium dahinya yang berbekas 1001 kerutan bukti pengalaman kehidupan dunianya, saya terus berlalu pergi sambil menahan sebak di hati.
  7. Petang itu mendung, awan berarak kelabu. Mendung si mega mendung. Dan saya terus menekan pedal minyak kereta memecut laju ke Ibu kota dengan hati yang bercampur baur.

 

 

Advertisements

DIA JUGA HAMBA ALLAH…

Posted: Mac 10, 2011 in Nukilan Hati
  1. Ketika coretan ini di cernakan, jam masih menunjukkan 12.00 pagi manakala jari jemari ini masih menari-menari di mata keyboard komputer. Mata masih ronyok dan fikiran pula menerawang jauh entah ke mana. Kali terakhir saya mencoret di laman blog hasifmuslim ini adalah pada 26 Ogos 2010 tahun lalu. Ketika itu saya masih berpejabat di Kuala Lumpur. Namun kini, saya telah berpindah ke Serdang kerana telah ditugaskan ke Ibu Pejabat di Putrajaya.
  2. Tahun 2011 telah menyaksikan banyak perubahan telah berlaku, baik peribadi, kerjaya, pengajian master, serta kehilangan insan tersayang. Masihkah tuan-tuan ingat coretan saya yang bertajuk “Nik Muhammad Kamil, Nakhoda Wan Ali dan Salasilah keturunan”? Dalam coretan tersebut, saya ada menyebut tentang Nenda saya, Hjh. Nik Maimah Nik Hussin, serta beberapa peristiwa dan kenangan bersamanya.
  3. Selasa lalu, beliau telah kembali menghadap Allah s.w.t., bertemu dengan arwah sang suami tercinta, Allahyarham Hj Wan Abu Bakar Wan Ismail setelah 22 tahun terpisah melalui denai-denai kehidupan bersendirian sambil kadangkala ditemani anak-anak, cucu-cucu serta cicitnya. Tepat jam 12.00 tengahari, sekujur tubuhnya yang putih bersih akhirnya kaku terhenti. Saat Izrail hadir menjemputnya, lidahnya masih basah dengan zikrullah serta bacaan ayat-ayat suci al-quran yang begitu fasih di bibirnya. Syukurlah.
  4. Nenda atau lebih mesra di panggil Toknik di kalangan cucunya, sebenarnya baru sahaja jatuh sakit dan di masukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu pada 28hb Februari 2011 yang lalu. Ketika itu, saya masih outstation di Port Dickson kerana memberikan khidmat rundingan kepada Majlis Perbandaran Selayang berkenaan Pelan Strategik. Apa yang saya tahu, beliau dimasukkan ke hospital berikutan sakit paru-paru berair atau angin ahmar. Namun, sebelum ini Toknik tidak pernah menghidap apa-apa penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis atau serangan jantung. Toknik dimasukkan pada 28/2 dan menghembuskan nafasnya yang terakhir kalinya pada 8/3/2011.
  5. Saya mengucap syukur kepada Allah, kerana 2 hari sebelum pemergian toknik, saya sempat menjaganya 2 hari berturut-turut, dan sempat tidur di sisinya satu malam iaitu pada hari jumaat malam sabtu yang lalu. Saya masih ingat pada malam itu ketika beliau mengadu sakit tenat, kelima-lima anaknya, Cik long, Pak Ngah, Wea, Makcik, dan Ayah Su, serta sepupu saya Dr.Ahmad Basri ada disisinya. Kami mengurut dan mengusap belakangnya bergilir-gilir. Manakala selebihnya yang lain membaca surah Yaasin dan Al-Insyirah. Beliau meminta agar belikatnya diusap dan gosok tanpa henti, menandakan sakit lelah yang di hadapi begitu memeritkan. Malam itu sungguh sayu. Sudah terbayang saat sakarat dating menjemput. Kami tidak mampu berbuat apa-apa melainkan meneruskan usaha yang ada. Akhirnya beliau kembali pulih dalam jam 4 pagi. Setelah itu, ahli keluarga yang lain memohon diri untuk pulang dan tinggallah saya dan ayah untuk mengambil giliran menjaga beliau.
  6. Saya juga masih ingat, walaupun toknik terbaring dalam keadaan sungguh lemah dan tidak berdaya, beliau masih mampu menegur kami dan membetulkan bacaan yaasin dan doa kami. Katanya “sebelum berdoa, bacalah al-fatihah dahulu”. Sewaktu, saya terduduk di kerusi keletihan, beliau sempat melampiskan bantal di sisinya meminta saya supaya tidur meletakkan kepada di sisinya. Ternyata kasih seorang seorang nenek terhadap cucunya begitu utuh meskipun di saat-saat terakhir kehidupannya.