Arkib untuk Februari, 2012

Koma dan kehidupan…

Posted: Februari 23, 2012 in Nukilan Hati

Kevin Kelly, seorang saintis pernah menyebutkan dalam artikel beliau Speculations on the future of science, bahawa dunia 50 tahun akan datang akan menampilkan berkali-kali ganda penemuan baharu berbanding 400 tahun yang lampau. Hakikat yang cuba dimaksudkan Kelly adalah wujudnya kemungkinan-kemungkinan baharu dalam kehidupan manusia setelah usia dunia yang kini sudah merentasi ribuan tahun dan kemungkinan itu mungkin tidak pernah terjangkau dalam benak pemikiran manusia pada dasawarsa-dasawarsa yang lampau. Tahun 2012 yang kita lalui kini berada dipersimpangan laluan itu.

2. Koma – seringkali dikaitkan dengan kejadian-kejadian ngeri yang akhirnya membawa kepada kematian. Koma kadangkala dirujuk kepada situasi di mana seseorang itu melalui saat-saat menakutkan sebelum menghampiri kematian. Banyak kisah yang kita selalu dengar tentang saat-saat koma antaranya adalah bertemu sesuatu yang ajaib, melalui peristiwa yang aneh, bertemu rasul, hang tuah, orang dahulu kala, melihat syurga atau neraka dan sebagainya.

 

3. Koma, dalam konteks penulisan saya kali ini pula merujuk kepada perhentian. Ya, perhentian atau persinggahan kepada sebuah perjalanan. Manusia rata-rata melalui tempoh kehidupan selama 5 – 7 dekad. Bahkan ada juga yang melampaui 9 dekad contohnya mentor saya Prof. Diraja Ungku Aziz yang kini sudah berusia 90 tahun.

4. Hakikat kehidupan memberikan kita satu petunjuk yang jelas bahawa kehidupan itu sendiri mempunyai permulaan dan pengakhiran. Ramai yang pasti bersetuju bahawa pertengahan kehidupan manusia berada pada usia 25 – 35 tahun. Ya, tidak dinafikan saya kini berada dalam saat “koma” itu.

5. Koma dalam konteks penulisan pula memberi gambaran kepada kita tentang perhentian dalam sesebuah penulisan. Koma mampu merehatkan sebentar fikiran yang menerawang jauh. Ia menarik minda kepada satu daerah yang sepi untuk kita bersedia melangkah ke peringkat seterusnya.

6. Bahkan jika sekiranya tiada koma dalam penulisan, ia akan menjadi caca merba, tidak teratur, tidak tersusun dan tidak terurus dengan baik. Lebih buruk lagi, hasrat dan maksud penulisan akan gagal untuk difahami oleh pembaca.

7. Dalam kehidupan manusia, wujud dimensi yang berbeza berdasarkan pengalaman, pengetahuan serta latar belakang tersendiri. Ada manusia yang lahir dalam keadaan tidak sempurna dan akhirnya meninggal dunia dalam usia yang masih bayi lagi. Maka tempoh koma baginya adalah pertengahan usia pendek yang dinikmati olehnya itu. Ada juga yang masih hidup meskipun seabad telah berlalu bermaksud waktu komanya adalah dipertengahan usia yang panjang itu.

8. Dalam memahami sisi lain “koma” dalam kehidupan manusia, kita juga perlu menelaah apa sebenarnya yang diperlukan untuk mengisi ruang pertengahan ini. Tuhan sekalian alam menyebutkan “Dan tidaklah Aku jadikan manusia itu melainkan semata-mata untuk beribadah kepadaKu” di dalam Al-Quran.

9. Ramai juga yang mungkin bersetuju jika ruangan yang begitu terhad ini diisi dengan proses muhasabah diri. Memuhasah diri dalam ruang lingkup “koma” bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi kebanyakan usia “koma” manusia memperlihatkan seseorang manusia itu mempunyai sosok badan yang tegap, rambut yang lebat, dada yang bidang, pinggul yang menawan, fikiran yang cerdas, jasmani yang cergas, serta kekuatan deria yang tajam.

10. Justeru, proses memuhasabah diri dalam usia “koma” ini memerlukan prinsip-prinsip yang mesti dipatuhi dan dihormati seperti tawadhu’, mengakui kelemahan dan kesilapan, serta sentiasa meneladani contoh yang baik bagi mengelakkan kesilapan lalu.

11. Saya punyai kisah tersendiri dalam sisi koma kehidupan saya. Saya cuba ukirkan seribu impian dalam nafas dan sanubari hati untuk menggapai impian itu menjelang usia akhir saya. Namun, kadangkala, ruang “koma” kehidupan mempunyai aturan sistem yang telah dikawal takdirnya oleh Tuhan yang Maha Berkuasa. Benar, apa yang dihajati 10 tahun yang lalu berbeza dengan apa yang dimiliki hari ini. Dan begitu jugalah apa yang diimpikan hari ini belum tentu terjadi 10 tahun akan datang. Sisi “koma” kehidupan kadangkala menjadi pacesetter kepada angan-angan kita yang dahulunya lain mengikut percaturan yang telah dilakarkan oleh Tuhan.

Advertisements

PTS…

Posted: Februari 20, 2012 in Nukilan Hati

Ini adalah post saya yang pertama pada tahun 2012. Ia adalah hasil gertakan minda dan getaran rasa yang kuat untuk kembali berpencak dalam arena maya ini setelah disentak oleh seorang sahabat. Sementelah tahun-tahun yang lalu saya memerhati dengan penuh minat peristiwa dan kejadian ciptaan tuhan yang begitu agung ini, ilmu dan pengetahuan yang diperoleh juga bertambah. Seiring dengan pengalaman dan kedewasaan yang kian menjengah.

2. 2012 adalah tahun yang menarik. Ia telah dan bakal mengumpulkan kejadian-kejadian besar yang begitu signifikan kepada ketamadunan bangsa-bangsa akhir zaman di dunia ini. Sarjana-sarjana Mayan begitu mempercayai bahawa 2012 ini adalah hari terakhir kepada ketamadunan dunia bagi membuka era baharu kepada usia dunia yang lain. Malah, Kalendar Mesoamerican turut memperakui perkara ini. Archaeoastronomer Anthony Aveni pula menyebutkan bahawa idea “balancing the cosmos” adalah begitu popular dalam komuniti Mayan. Walau bagaimanapun, sisi songsang peradaban karut manusia Mayan sukar dibuktikan secara saintifik. Kebanyakan sarjana-sarjana Islam pula mengaitkan idea ini tidak lebih sebagai pseudoscience yang begitu kabur dan kelam.

3.            Dalam kekalutan dunia menghadapi pelbagai kebobrokan yang berlaku angkara tangan-tangan ganas manusia itu sendiri, Malaysia pula bakal berhadapan dengan saat-saat getir Pilihanraya umum yang ke-12. Perdana Menteri masih berteka-teki bilakah tarikh dan masa yang sesuai semboyan pilihanraya akan diadakan. Kini, kerajaan melalui usaha-usaha transformasi telah mengorak langkah yang begitu pantas untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka perlu diberi mandat sekali lagi untuk memacu Negara ke arah Negara maju 2020. Pembangkang juga punyai resipi tersendiri. Isu-isu lama seperti hudud, Israel, khalwat, liwat, rasuah dsb diputar-putar berulang kali. Rakyat mungkin ada yang sudah mengerti permainan-permainan yang ada dalam rimba politik ini. Hanya yang cerdik tidak akan tertipu di saat ada yang pandai dengan mudah sahaja diperdayakan.

4.            Apapun, bukanlah niat saya untuk merakamkan peristiwa dan kejadian ini dalam suatu ruangan pena yang begitu luas ini. Saya lebih suka untuk mengulas dan memberi pandangan mengenai sejauh mana manusia-manusia yang hidup dan menghirup udara bumi Malaya dan Malaysia ini mencapai tahap kematangan dalam berfikir dalam ruang lingkup sistem pentadbiran, ekonomi, politik dan budaya bahasa yang begitu tertelangkup dalam ruang sempit paradigma yang mengelirukan.

5.            Rata-rata manusia yang ada di muka bumi bertuah ini punyai satu maksud utama dalam kehidupan – kekayaan. Kekayaan boleh sahaja diistilahkan dalam pelbagai rupa bentuk. Paling siginifikan, kekayaan sering dikaitkan dengan wang ringgit dan kemewahan. Di kampung dan desa pula, kekayaan dikaitkan dengan kemampuan memiliki berbidang-bidang dan berekar-ekar tanah. Golongan environmentalis bagaimanapun, menganggap kekayaan adalah kemampuan manusia untuk memelihara dan memulihara alam sebagai sebahagian dalam kehidupan mereka. Dunia perubatan pula mendefinisikan kekayaan sebagai nikmat mengekalkan kesihatan dalam kehidupan seseorang. Para agamawan pula lebih tenang mentakrifkan kekayaan sebagai nikmat dalam ibadah yang membuahkan restu dan redha Tuhan yang Esa. Ironinya, kekayaan adalah sesuatu yang menjadi keinginan dan hajat kemahuan setiap manusia.

6.            Dunia rata-rata menganggap orang-orang yang kaya adalah mereka yang mempunyai asset yang terbanyak. Murdoch, Warren Buffet, Gates dll. adalah antara beberapa yang disenaraikan oleh Forbes sebagai inidvidu yang memiliki asset terbanyak dalam peradaban dunia kini. Di Malaysia, nama Robert Kwok dan Ananda Krishnan adalah begitu sinonim dengan symbol kekayaan manusia di tanah air bertuah. Nama besar Syed Mokhtar AlBukhary juga adalah antara ikon yang Berjaya menjadikan Orang-orang Melayu begitu bangga dengan pencapaian seorang Melayu yang hebat sepertinya itu.

7.            Dalam memahami impian memiliki kekayaan, ramai orang terlupa kepada adab dan etika menguruskan kekayaan. Ia bukanlah sesuatu yang boleh diserahkan sebagaimana bisnes-bisnes pengurusan hartanah dan kewangan oleh Amanahraya dan Prudential. Adab menguruskan kekayaan memerlukan peribadi dan kemuliaan hati. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah.  Ia tidaklah begitu senang sebagaimana pergi ke Makkah, mengerjakan umrah dan haji daripada hadiah kemenangan peraduan TV atau pun sumbangan suara wanita yang lunak merdu dan kembali bertudung buat sementara mengukuhkan semula popularity dalam kalangan peminat-peminat.

8.            Menguruskan kekayaan memerlukan 3 idea utama: Pandai, Tawadhu dan Sabar (PTS). Idea PTS ini juga bukanlah sesenang takrifan terminologinya itu. Bahkan, membahaskan ketiga-tiga perkataan ini juga bukanlah boleh dibuat sehari dua. Pandai dalam menguruskan harta melibatkan pengetahuan dan pengalaman. Kepandaian boleh dicari melalui siri-siri pengajaran ilmu dimana-mana. Kepandaian akan hadir sendiri setelah ilmu-ilmu itu diaplikasi dalam kehidupan. Pengalaman pula berbeda. Ia hanya akan hadir mengikut waktu dan masa. Pengalaman adalah seperti angin yang bergerak seiring dengan peredaran zaman. Ia tidak boleh dibeli dan dijual ganti.

9.            Menguruskan kekayaan dengan kepandaian mesti disertai dengan sifat tawadhu’. Kerana kekayaan itu adalah siginifikan. Ia bersifat substantif dalam kehidupan manusia. Kekayaan tidak dapat tidak sering dikaitkan dengan kemampuan memiliki sesuatu yang berharga. Justeru, pemilikan ke atas sesuatu yang berharga itu mestilah dikukuhkan lagi dengan sifat tawadhu’. Meskipun sifat ini adalah salah satu sifat yang terpuji dalam agama Islam, ia sebenarnya juga adalah satu fitrah semula jadi dalam kehidupan manusia. Bayangkan sahaja bayi yang baharu lahir itu adalah hasil mani sperma yang berenang nakal dan ovum yang akhirnya bercantum menjadi nutfah dan mudghah. Ia keluar daripada lubang kencing yang hancing dan tinja yang busuk yang masuk ke dalam lubang kencing juga. Ia sekali lagi keluar dari lubang kencing si ibu yang begitu sakit melahirkannya. Bukankah itu betapa manusia perlu kepada kerendahan hatinya apabila sesekali menikmati kekayaan?

10.          Adapun Sabar adalah sangat subjektif. Sabar adalah lima huruf yang begitu mudah dieja tapi sukar diduga. Menduga kesabaran bererti menduga iman. Dalam menguruskan kekayaan, kesabaran adalah sesuatu yang instrumental. Khususnya apabila kita berhajat menggunakan kekayaan dalam erti waktu dan masa yang tidak kena pada tempatnya, sabar perlu dipraktikkan sebagai benteng menghalang kepada kesalahan-kesalahan yang bakal dilakukan itu.

11.          Falsafah PTS yang saya cuba bawa ini bukanlah juga sesuatu yang baharu. Cuma, adab dan etika kita apabila memperoleh kekayaan terkadang-kadang sering melupakan kita kepada ciri-ciri yang begitu penting ini.  Malah tiadalah saya ingin mengatakan kekayaan itu sebagai sesuatu yang tidak bermakna kepada kehidupan kerana fitrah manusia itu sendiri sememangnya menginginkan kekayaan.

12.          Menyentuh soal kekayaan perasaan dan jiwa pula, saya meyakini bahawa kedua-dua “makhluk” yang ujud dalam diri manusia ini tidak boleh diukur dan diurus sebagaimana mengurus kekayaan.  Perasaan yang dikayai dengan cinta, kasih dan sayang biasanya akan bersifat lembut. Ia mudah didampingi dan dibelai. Ia jarang menyakiti malah menyantuni. Ia memberikan senyuman kepada kemurungan. Ia mencipta hari yang indah setelah semalam yang merekah.  Jiwa pula punyai satu ruang yang dinamai hati.  Ia dicipta dalam keadaan kekalutan asalnya. Bahkan, Allah sewaktu menegaskan soal manusia menyebut manusia itu dicipta dalam keadaan “Halu’aa” yakni kekalutan dan keresahan. Walau bagaimanapun, jiwa masih boleh dilentur. Jiwa, meski membolak balik hati, masih boleh diyakini. Meski meresah rasa, masih boleh disapa. Justeru, hendaklah manusia meyakini bahawa kekayaan perasaan dan jiwa adalah tidak lari dalam kehidupan ini. Ia adalah sekali lagi merupakan fitrah yang memerlukan kehidupan beragama. Kehidupan yang mesti diatur dengan sebaik-baiknya dalam satu sistem aturan yang dibekalkan oleh sang pencipta.