Arkib untuk November, 2012

Kegagalan dan Kejayaan

Posted: November 27, 2012 in Uncategorized

Image

 

Jika ditanya pendapat kebanyakan orang, sudah pasti semua menginginkan kejayaan. Tiada siapa mengimpikan kegagalan. Malah, tiada siapa yang mahu untuk gagal dalam apa-apa sahaja perkara yang dilakukan. Malangnya, mencipta kejayaan tidaklah semudah memetik epal ditaman, atau memetik dauh teh di cameron highlands. Kejayaan yang sebenar tidak hadir dengan hanya sekadar bermimpi dan melakukan sesuatu secara ala kadar.

Tuhan menjadikan setiap sesuatu itu berpasangan. Ada lelaki dan ada wanita. Ada langit dan ada bumi. Ada syurga dan ada neraka. Begitu juga ada kejayaan dan ada kegagalan. Hikmah dijadikan berpasangan ini adalah supaya setiap sesuatu itu saling melengkapi antara satu sama lain. 

Kegagalan dicipta sebagai tanda kasih tuhan kepada hambaNya. Dari sudut yang lain, jika kegagalan itu dilihat secara positif, ia adalah punca kepada motivasi yang begitu berkuasa. Orang yang merasai kegagalan akan lebih berhati-hati dan menghargai kejayaan yang dinikmatinya selepas itu. Malah, dia menjadi semakin mahir dan lebih berpengalaman dalam mengendalikan sesuatu perkara berdasarkan pengalaman pahit merasai kegagalan sebelum ini.

Tidaklah tuhan menjadikan kegagalan itu sebagai penamat segala-galanya didunia ini melainkan ia sebagai perhentian sementara menuju ke destinasi kejayaan yang diidam-idamkan. Thomas Alva Edison merasai ratusan kegagalan dan hanya menemui kejayaan mencipta mentol pada percubaan ke seribu. Wright brothers mengalami kerugian akibat jentera terbangnya sering jatuh sebelum akhirnya berjaya mencipta kapal terbang pertama di dunia. Begitu juga rasulullah mengalami beberapa kegagalan sebelum akhirnya berjaya menawan Makkah dalam peristiwa Fathu Makkah dan seterusnya mengibarkan panji Islam di seluruh dunia.

Orang yang dilahirkan oleh orang yang berjaya dan menikmati kejayaan orang yang melahirkannya dan hidup dalam kekayaan dan kenikmatan kejayaan orang yang melahirkannya bukanlah ditakrifkan sebagai orang yang turut berjaya. Mereka lebih tepat digelar sebagai orang yang menumpang kejayaan orang lain. Apabila orang yang berjaya itu telah tiada maka mereka harus berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan yang dibina berasaskan kemampuan dan kesungguhan sendiri.

Kegagalan adalah hakikat kehidupan. Hanya yang berani berhadapan kegagalan dan tidak takut menghadapi risiko sahaja yang akan mampu menghayati erti sebenar kejayaan. 

 

p/s: Walau pun Malaysia gagal dalam perlawanan pertama, kita perlu optimis untuk mencipta kejayaan daripada kegagalan itu. Orang yang bijak tidak akan mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang kali.

 

HasifMuslim | 27112012