Archive for the ‘Keluarga’ Category

 

Kepulangan saya ke Kota Bharu 3 hari sudah (16 – 18/07/10) bukanlah sebarangan kepulangan. Ternyata, kali ini tidak sia-sia. Banyak maklumat dan ilmu yang di peroleh dan paling penting rahsia keturunan saya telah di bongkar satu persatu. Ya, mungkin bagi sesetengah masyarakat asal usul keturunan keluarga ini bukanlah satu perkara yang aula’ dan penting dalam kehidupan mereka. Malah Allah s.w.t. sendiri tidak pernah menyatakan ahli syurga itu di warisi keturunan mereka sewaktu di dunia. Hanyalah iman, amalan dan taqwa yang akan menjadi neraca dalam pertimbangan di hadapan Allah kelak. Sesuai dengan firmanNya, “Inna Akramakum ‘Indallahi Atqaakum”. Bermasksud “Hanyasanya yang paling mulia di sisi Allah, adalah mereka yang paling bertaqwa di antara kamu.”

Jam 12 tengahari, saya menyusuri Jambatan Sultan Yahya Petra yang masih dalam pembinaan, barangkali perlukan hampir 2 tahun lagi untuk siap sepenuhnya. Sungai yang memisahkan Pasir Pekan dan Kota Bharu itu sememangnya menyimpan banyak sejarah. Kalau dahulu, sawah padi dan berbidang-bidang tanah yang luas nan indah terbentang menghiasi permukaan dan pesisir sungai tersebut. Namun, hari ini, ianya jelas bertukar. Apa yang ada adalah kawasan pembangunan yang memuatkan sebuah gudang pasaraya TESCO dan juga Terminal Bas terbesar di Kelantan dan Kota Bharu selain bangunan-bangunan lain yang tidak kurang banyaknya.

 Saya singgah di stesen minyak Petronas Pasir Pekan kepunyaan Hj. Nik Zul Nik Leh (kalau tidak silap namanya) yang juga merupakan bau-bau bacang dengan saya melalui susur galur tok wan saya iaitu Hj. Wan Abu Bakar Wan Ismail. Beliau juga memiliki sebuah lagi Stesen Petronas yang paling sibuk di Kuala Krai, rasanya stesen tersebut sangat terkenal bagi mereka yang selalu berulang-alik dari KL ke Kota Bharu. Ianya terletak di bahu jalan sahaja menghala ke Gua Musang. Di sebelah stesen tersebut, saya telah menapau 2 bungkus nasi berlauk ayam, kata Tok Nik, gulai ayam di situ sedap. Usai membeli nasi serta sebungkus tea o beng (loghat Kelantan), saya terus ke destinasi yang di tuju, iaitu rumah Tok Nik di Kampung Surau Pasir Pekan.

 Bercerita tentang Kampung Surau Pasir Pekan ini, sebenarnya saya bukanlah orang pertama yang bercerita mengenainya melalui alam maya. Saudara saya, Wan Mohd Hazim bin Wan Abdullah, juga dari Pasir Pekan telah membuat kajian dan menerangkan secara panjang lebar mengenai sejarah dan keturunan salasilah dan susur galur Pasir Pekan ini melalui laman web http://artikelwannuh.blogspot.com

 Rumah tok nik hanyalah sebuah rumah peninggalan warisan yang di bina sejak tahun 1940-an lagi. Asalnya rumah itu hanyalah mempunyai 2 bilik, satu ruang tamu dan satu ruang kecil yang memuatkan dapur sahaja. Seiringan dengan zaman, lewat 90-an, rumah tersebut telah di ubahsuai dan di cat semula menjadikan ianya lebih selesa dan luas. Sekurang-kurangnya, apabila anak, cucu dan cicit pulang beraya dan datang menziarah, bilik yang ada adalah mencukupi dan selesa.

Saya mundar mandir hampir 15 minit juga di luar pintu rumah, ya, kebiasaannya, tok nik akan ke surau untuk bersolat jemaah, jadi, barangkali toknik mungkin berada di masjid pada fikiran saya. Rupa-rupanya, setelah mengetuk pintu rumah berulang kali, akhirnya beliau keluar dan menyambut kehadiran saya dengan wajah yang tersenyum.

“Maafkan hasif, tok nik, ganggu tok nik solat pula”. Kata saya perlahan sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengannnya. Sambil membongkok, dia menyambut salam yang di hulurkan.”Ingatkan siapa tadi, mat hasif rupanya”.jawabnya lembut. Wajahnya tetap nampak berseri-seri dalam kain tudung putih yang membaluti tubuhnya itu. Nampak ketenangan di balik kerutan dan kedutan yang beribu di wajahnya. Apatah lagi usianya sudah menjangkau hampir 90 tahun tidak lama lagi.

 Rumah tok nik adalah merupakan antara rumah-rumah lama dan yang terawal di bina di kampong surau pasir pekan. Selain itu, rumah-rumah lama yang lain yang turut di miliki oleh saudara mara wan dan nik di kampung itu juga masih ada. Antaranya, rumah Tok Haji Abdullah (Aji Lah), Ust. Wan Yusof (anaknya ahmad adalah 2 pupu saya), Makcik Lah, Mak Nik Arah, dan ramai lagi. Manakala, di bahagian bawah lembah dekat sungai Kelantan pula, terletak rumah Tok Imam Wan Saleh (tok imam wan saleh atau we leh merupakan imam yang mengahwinkan ibu dan wea saya), serta ramai ulama-ulama super senior yang lain.

 Rumah tok nik satu ketika dahulu bercat warna kelabu putih, namun warnanya hampir tidak kelihatan akibat semakin uzur papannya. Sehinggalah, diberi nafas baru, rumah toknik di cat semula dengan warna kuning. Malahan, perabut dan perkakas dalamannya juga sudah di upgrade dengan sebahagian besarnya telah di sumbangkan oleh anak-anak toknik sendiri.

 Masuk ke rumah saya terus kedapur dan meletakkan makanan di atas meja yang terletak di sudut ruang legar dapur rumah. Manakala toknik pula menyalin pakaian solat beliau dan keluar semula memakai baju kurung kedah serta berkain batik.

 “Makanlah toknik, hasif bawakan nasi ayam gulai dengan tea o ais untuk kita makan sama-sama, nyam nyam” sapaku sambil membuka bungkusan makanan. Tok nik hanya melihat sambil matanya melilau-lilau mencari sesuatu di atas bahagian para dapurnya. Begitulah kebiasaannya, beliau tidak betah melihat tetamu yang datang untuk menghidangkan makanan padanya. Baginya, sebagai tuan rumah dialah yang akan menyediakan segala-galanya untuk tetamu meskipun kepada anak-anak dan cucu-cucu sendiri.

Bersambung…