Archive for the ‘Nukilan Hati’ Category

Ia Milik Tuhan

Posted: Mac 27, 2012 in Nukilan Hati

 

1. Siapa yang boleh menyangkal bahawa Tuhan memiliki segala-galanya? Ada beberapa patah melayu sering juga menyebut tentang sejauh mana pun kesungguhan manusia menggapai impian mereka, pada akhirnya tuhan yang menentukan semua. Antaranya adalah pepatah “Kita merancang, Tuhan menentukan”.

2. Manusia harus sedar bahawa apa yang dimilikinya adalah pinjaman. Dengan erti kata lain manusia hanyalah menumpang apa yang bukan miliknya. Bahkan, nyawa yang menduduki jasadnya juga adalah satu pemberian yang akan diambil semula oleh tuhan. Kerana itu jualah, tuhan berfirman “Kullu Nafsin Zaa’iqatul Mawt” – Setiap yang bernyawa pasti menempuhi maut.

3. Mencari makna apa yang dimiliki bukanlah sesuatu yang mudah. Begitulah juga apabila kita mentafsir nikmat pinjaman yang dianugerahkan tuhan. Kita pasti mendapati bahawa ia tidak selama-lamanya sempurna. Mata, telinga, hidung, kulit, deria dan lain-lain nikmat akan ditarik semula apabila tiba masanya kelak.

4. Mata akan rabun bila tiba masanya, rambut akan putih beruban apabila sampai waktunya, kulit akan mengendur, sendi dan urat akan lemah, daya ingatan semakin tumpul, perasaan menjadi sensitif, lantas perlahan-lahan apa yang dimegahi selama ini akan turut hilang dimamah usia.

5. Begitulah jua perihalnya fizikal dan material yang lain. Bangunan dan tanah, rumah dan kedai, pejabat yang besar dan gudang yang serba mewah – akhirnya tidak akan kekal lama. Paling tidak ia mungkin bertahan selama 10 tahun, 50 tahun, 100 tahun atau paling lama mungkin 200 tahun. Angka ini hanyalah tempoh yang sangat singkat jika dibandingkan waktu di alam yang seterusnya kelak.

6. Perasaan dan hati, dalam aspek ini juga tidak terkecuali. Tuhan adalah pencipta hati. Tuhan jua yang memakmurkan hati dengan pelbagai variasi perasaan – cinta, kasih sayang, benci, geram dan sebagainya adalah antara warna warni perasaan yang dicampakkan tuhan ke dalam sanubari manusia.

7. Tiada siapa boleh menafikan juga betapa perasaan adalah sangat instrumental kepada kehidupan manusia. Setiap hari apabila kita berhadapan dengan pelbagai ragam dan karenah kehidupan, kita akan merasai pelbagai perasaan yang bermain-main dalam hati kita.

8. Namun, tuhan sebagai pencipta hati dan perasaan jauh lebih berkuasa. Kerana itu jua tuhan berfirman “Innal Insaana Khuliqa Haluu’a” – Sesungguhnya manusia dicipta dalam keadaan keluh kesah. Hakikat ini membuktikan manusia tidaklah mengawal diri mereka; apatah lagi berkuasa untuk menentukan perasaan yang dialaminya.

9. Tuhan memberikan perasaaan sebagai tanda kasihnya kepada manusia. Justeru, rasa kehambaan seperti bersyukur, berterima kasih, rendah diri, takut, zuhud dan sebagainya adalah antara variasi jiwa yang mesti ada pada diri manusia walau sebaik atau sejahat mana pun sifat yang dimilikinya.

10. Rasa takut kehilangan orang yang disayangi, atau harta yang dimiliki, adalah satu lumrah. Tuhan boleh memberi dan menariknya pada bila-bila masa. Malah, perasaan itu boleh dibolakbalikkan tuhan pada ketika yang dikehendakiNya.

11. Masa yang dilalui kini adalah rentetan panjang perjalanan kehidupan masa akan datang.Bersabar dan terus mengharapkan rahmat tuhan adalah penawar mujarab menghilangkan kesedihan dan lara duka akibat kehilangan. Semoga terus gagah melangkah di masa mendatang. Semoga jari ini terus gagah menari-nari berpencak di alam maya. Semoga terus gagah berjalan dan berlari menuju ke destinasi impian yang dicari.

WMH | 27.03.2012 | 3.30 pagi

MASA YANG DIBELAKANGKAN

Posted: Mac 14, 2012 in Nukilan Hati

1. Manusia jarang bersyukur. Malah, ada yang langsung tidak tahu untuk bersyukur. Setelah ia dilahirkan ke muka bumi tuhan, diberikan nafas untuk bernyawa, ia semakin galak. Tujuan kejadian penciptaan manusia bukan sahaja sekadar sebagai Khalifah yang ditugaskan dengan tanggungjawab imarat al-ardh semata-mata, malah ia mencakupi lebih daripada itu.

2. Ada sesuatu yang sentiasa mencemburui manusia – Masa. Kerana itulah Allah sentiasa bersumpah dengan masa – Wal-Asr’. Masa sentiasa bergerak tanpa pernah berpusing kembali. Adakalanya, kita terfikir akan kemungkinan masa untuk diputarkan kembali. Betulkah wujud akan kemungkinan itu. Sekalipun mampu, kita hanya boleh mengulangi peristiwa yang sama sahaja namun tetap dalam masa yang berbeza.

3. Beberapa saintis mencuba untuk mencabar pendapat ini. Antaranya adalah Albert Einstein yang mengulas tentang teori relativiti. Einstein pernah menyebutkan “Apabila lelaki duduk bersama gadis cantik selama satu jam ia bagaikan satu minit. Tetapi apabila duduk di atas dapur panas selama seminit ia seperti satu jam. Itu relativiti,” demikian kata Albert Einstein mengenai teori relativiti.

4. 1905, merupakan tahun annus mirabilis (tahun keajaiban) buat Einstein apabila beliau membangunkan teori relativiti – satu penerangan bahawa hubungan antara masa dengan ruang mencabar pandangan umum seperti yang diterima sejak zaman Sir Isaac Newton, 200 tahun sebelum itu. Siri penemuan saintifik beliau turut menggegarkan dunia fizik pada tahun tersebut termasuk kesan cahaya elektrik (fotoelektrik), gerakan Brown dan persamaan jisim dan tenaga. Penemuan fotoelektrik tersebut terus melonjakkan nama Einstein apabila memenangi hadiah Nobel Fizik pada tahun 1921 yang merupakan anugerah teragung dalam bidang sains.

5. Filem-filem sains fiksyen seperti Times Machine, XXRay dan XXray II karya Aziz M. Osman turut memperihalkan tentang percubaan manusia merentasi masa. Hakikat tentang siri kajian dan penyelidikan manusia memenangi perlumbaan dengan masa ini sebenarnya seringkali menemui jalan buntu.

6. Walau bagaimanapun, masa tidak pernah terhenti. Ia akan tetap terus berjalan sebagaimana peraturan yang dicipta tuhanNya, Allah SWT. Kadangkala, apabila kita menemui saat-saat kesukaran dalam kehidupan, kita sering mengeluh alangkah indahnya jika saat indah yang dikecapi di masa lalu dapat diputarkan kembali. Perasaan sebegini sebenarnya adalah sesuatu yang normal. Bahkan, ia sememangnya mampu untuk membangkitkan semula semangat kita jika sekiranya kita berada dalam keadaan kurang bermotivasi.

7. Setiap orang di dunia ini juga pasti mempunyai saat manis dan pahit dalam kehidupan mereka. Kenangan manis dan pahit sedemikian boleh sahaja berlaku ketika kita mempunyai peristiwa-peristiwa yang menarik bersama orang-orang yang disayangi beberapa ketika dahulu. Kenangan pahit juga sering terungkap apabila kita terpaksa menempuhi jalan dan persimpangan perjalanan kehidupan yang membencikan. Kita seboleh mungkin akan terus membenci persimpangan itu dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi.

8. Walau apapun keadaannya, kenangan yang dicipta tetap tidak akan dapat diputarulang semula, Kenangan manis akan menjadi tanda ingatan yang cukup istimewa dalam coretan sejarah kehidupan. Kenangan pahit pula akan tetap terpendam dipenjuru sanubari sebagai mengingati langkah berjaga-jaga agar kesilapan tidak akan berulang di masa akan datang. Kenangan manis ini, walaupun tidak dapat diulang kembali di dunia, tetap diharapkan agar dapat berulang kembali di kehidupan abadi akhirat kelak. Semoga terus isitiqamah mengejar kebaikan dan mengurangkan kesilapan walaupun kita tidak akan terlepas daripada melakukannya sebaik mana pun kita.

Satu Jam Mencermin Diri

Posted: Mac 12, 2012 in Nukilan Hati

1. Petang Isnin di Putrajaya hari ini begitu dingin. Kebelakangan ini Wilayah Persekutuan kebanggaan negara ini sering mengalami hujan dan cuaca redup mendung. Ramai yang pulang awal. Barangkali penat dan letih akibat seharian bekerja. Tambahan pula hari isnin sering dikaitkan dengan fenomena Monday Blues yang bisa sahaja memperlahankan mood dan rentak prestasi kerja dan perjalanan kehidupan.

2. Ketika ini, saya masih di sini. Sedikit bingung dengan kejutan Isnin. Setelah bertungkus lumus membantu Kementerian Pelajaran Malaysia membangunkan Pelan Pengurusan Risiko Kementerian, saya bingkas ke pejabat semula. Niat dihati ingin terus pulang ke rumah. Apakan daya, esok harus ke Pahang untuk mesyuarat bersama pihak MUIP pula. Kerja tidak pernah akan habis. Ia sentiasa bertambah.

3. Bingkisan petang hari ini sebenarnya lebih berkisar tentang perhitungan waktu dalam kehidupan yang begitu singkat. Menerjah terowong masa yang begitu menghambat, seringkali kita melihat akan kisah pelbagai ragam manusia yang bermacam-macam. Tuhan menganugerahkan manusia 24 jam seharian. Tidak lebih dan juga tidak kurang.

4. Namun, dicelah kekalutan persaingan mengejar dunia yang kian sarat, 24 jam itu bagaikan tidak mencukupi. Seboleh-bolehnya 24 jam itu mahu dikorbankan untuk kerja dan bebanan tugas yang semakin rencam. Ketika ini, para motivator akan berbicara bahawa kejayaan itu mestilah disungguhi dengan usaha-usaha luar biasa yang begitu gigih.
Cerita-cerita kesungguhan bisnesman dan usahawan terus diputar menyatakan bahawa kejayaan itu adalah mahsul pengorbanan masa yang dikisar 24 jam tanpa henti.

5. Tidak ramai yang tahu menggunakan masa 24jam dengan penuh nikmat. Sudah pasti tujuan Tuhan menciptakan manusia untuk ibadah. 24 jam adalah tempoh ibadah yang begitu asyik. Bukan sahaja dalam erti kehambaan beribadah melalui solat dan doa, bahkan ibadah yang menanggung manusia akan amanah dan istiqamah yang mesti dijulang di sosok badannya.

6. 24 Jam juga mesti dicerakinkan untuk waktu berkasih sayang. Gagal membajai kasih sayang dalam kehidupan berarti gagal mencipta syurga nikmat dalam perhubungan manusia dan tuhan – manusia dan alam – manusia dan insan. Kasih sayang bukanlah milik manusia semata-mata. Rasa kasih timbul hasil wujudnya sayang. Menyatakan sayang dan rindu pada sesebuah ciptaan tuhan sudah cukup membuktikan baja-baja kasih terfitrah dalam diri setiap manusia. Sesungguhnya tiada siapa mampu hidup tanpa kasih sayang.

7. Mencermin diri dalam pecahan waktu 24 jam bukanlah perkara yang mudah. Tidak ramai yang sanggup mencermin diri. Mungkin sahaja dari segi lahiriahnya bagus, namun belum tentu dari batinnya. Mereka yang berwajah elok, baik paras rupa biasanya bangga melihat wajah sendiri. Ia jelas dan terang. Apapun, mencermin diri melihat batin sendiri adalah menyukarkan. Ramai yang menggagalkan. Jika berani melihat sekalipun, gambarannya kabur dan tidak jelas.

8. Justeru, waktu yang diperuntukkan tuhan ini ada siginifikannya. Mencermin diri adalah salah satu sisi keperluan kepada tempoh 24 jam yang diberikan. Ambillah senafas cuma mencermin diri sendiri. Agar keyakinan dan keberanian dalam menghadapi kehidupan akan lebih terserlah dan mampu untuk diteruskan.

Pelangi Di Balik Rimba

Posted: Mac 12, 2012 in Nukilan Hati

1. Pelangi sering dikaitkan dengan keindahan. Ketika saya masih anak kecil, ibu sering menceritakan keindahan alam ciptaan tuhan melalui 7 warna pelangi yang pelbagai. Malah, untuk memuji hati yang terkadang kecewa tidak dapat bermain hujan, ibu sering menyedapkan hati kecil yang meronta dengan menjanjikan pelangi yang indah sebagai balasan untuk ditonton atas kesabaran tidak bermain hujan bersama teman-teman.

2. Lebih 2 dekad telah berlalu. Dan cerita pelangi ibu masih bermain di fikiran dan di hati sanubari. Mafhum pujukan ibu ini, kita harus sentiasa bersabar dalam menjejaki cita-cita dan impian. Walaupun dalam keadaan itu, kita akan sentiasa dihujani dengan pelbagai ujian dan cabaran.

3. Pelangi, selain dikaitkan dengan kesabaran, sering juga dirujuk kepada fantasi yang menggambarkan sebuah kehidupan di atasnya. Dalam beberapa rancangan dan filem animasi kanak-kanak seperti sesame street, barney dan sebagainya turut menggunakan pelangi sebagai sebuah taman yang penuh riang ria untuk dinikmati.

4. Tidak kurang juga ada yang menggambarkan pelangi sebagai jambatan kehidupan yang penuh ceria. Menyusuri jalan-jalan indah yang terbentuk dengan penuh warna-warni sudah cukup untuk menjadikan impian setiap orang menjejak kaki di dada pelangi sebagai keinginan yang kuat untuk digapai.

5. Apatah lagi pelangi turut muncul selepas hujan. Hujan yang lebat, kilat mahupun renyai-renyai bukanlah isunya. Yang penting Pelangi akan terbentuk selepas hujan berlalu. Pelangi tercipta setelah mendung si mega mendung berarak pergi.

6. Hakikatnya pelangi itu hanyalah mainan ilusi warna. Sains telah membuktikan bahawa pelangi sebenarnya wujud. Pembiasan cahaya yang menjadikan 7 warna pelangi terbentuk adalah hukum alam yang tidak boleh disangkal.

7. Dalam kehidupan manusia, sudah pasti ada saat indah dan saat kecewa. Tidak ada manusia yang sentiasa berjaya meredah semak dan belukar menyusuri laluan kehidupan yang penuh pancaroba ini. Hujan panas, ribut, banjir dan kemarau adalah antara ujian yang akan menemani sejauh atau sesingkat mana pun perjalanan kehidupan.

8. Namun yang semestinya akan hadir dibalik segala kisah perjalanan yang panjang itu, adalah warna-warni pelangi yang begitu menggembirakan. Setiap orang pasti atau mungkin sahaja akan memiliki peluang menikmati pelangi yang indah ini – walaupun mungkin sahaja akan ada yang langsung gagal untuk menyaksikannya.

9. Dan di persimpangan kehidupan ini, saya percaya cerita pelangi ibu kepada saya sewaktu ketika dahulu bukanlah cerita dongeng yang direka sesuka hati. Ia adalah cerita yang digarap dengan penuh kasih sayang daripada seorang ibu kepada anak lelaki tunggalnya. Semoga saya dan ibu akan berpeluang lagi menikmati pelangi yang gemilang itu. Amen.

Koma dan kehidupan…

Posted: Februari 23, 2012 in Nukilan Hati

Kevin Kelly, seorang saintis pernah menyebutkan dalam artikel beliau Speculations on the future of science, bahawa dunia 50 tahun akan datang akan menampilkan berkali-kali ganda penemuan baharu berbanding 400 tahun yang lampau. Hakikat yang cuba dimaksudkan Kelly adalah wujudnya kemungkinan-kemungkinan baharu dalam kehidupan manusia setelah usia dunia yang kini sudah merentasi ribuan tahun dan kemungkinan itu mungkin tidak pernah terjangkau dalam benak pemikiran manusia pada dasawarsa-dasawarsa yang lampau. Tahun 2012 yang kita lalui kini berada dipersimpangan laluan itu.

2. Koma – seringkali dikaitkan dengan kejadian-kejadian ngeri yang akhirnya membawa kepada kematian. Koma kadangkala dirujuk kepada situasi di mana seseorang itu melalui saat-saat menakutkan sebelum menghampiri kematian. Banyak kisah yang kita selalu dengar tentang saat-saat koma antaranya adalah bertemu sesuatu yang ajaib, melalui peristiwa yang aneh, bertemu rasul, hang tuah, orang dahulu kala, melihat syurga atau neraka dan sebagainya.

 

3. Koma, dalam konteks penulisan saya kali ini pula merujuk kepada perhentian. Ya, perhentian atau persinggahan kepada sebuah perjalanan. Manusia rata-rata melalui tempoh kehidupan selama 5 – 7 dekad. Bahkan ada juga yang melampaui 9 dekad contohnya mentor saya Prof. Diraja Ungku Aziz yang kini sudah berusia 90 tahun.

4. Hakikat kehidupan memberikan kita satu petunjuk yang jelas bahawa kehidupan itu sendiri mempunyai permulaan dan pengakhiran. Ramai yang pasti bersetuju bahawa pertengahan kehidupan manusia berada pada usia 25 – 35 tahun. Ya, tidak dinafikan saya kini berada dalam saat “koma” itu.

5. Koma dalam konteks penulisan pula memberi gambaran kepada kita tentang perhentian dalam sesebuah penulisan. Koma mampu merehatkan sebentar fikiran yang menerawang jauh. Ia menarik minda kepada satu daerah yang sepi untuk kita bersedia melangkah ke peringkat seterusnya.

6. Bahkan jika sekiranya tiada koma dalam penulisan, ia akan menjadi caca merba, tidak teratur, tidak tersusun dan tidak terurus dengan baik. Lebih buruk lagi, hasrat dan maksud penulisan akan gagal untuk difahami oleh pembaca.

7. Dalam kehidupan manusia, wujud dimensi yang berbeza berdasarkan pengalaman, pengetahuan serta latar belakang tersendiri. Ada manusia yang lahir dalam keadaan tidak sempurna dan akhirnya meninggal dunia dalam usia yang masih bayi lagi. Maka tempoh koma baginya adalah pertengahan usia pendek yang dinikmati olehnya itu. Ada juga yang masih hidup meskipun seabad telah berlalu bermaksud waktu komanya adalah dipertengahan usia yang panjang itu.

8. Dalam memahami sisi lain “koma” dalam kehidupan manusia, kita juga perlu menelaah apa sebenarnya yang diperlukan untuk mengisi ruang pertengahan ini. Tuhan sekalian alam menyebutkan “Dan tidaklah Aku jadikan manusia itu melainkan semata-mata untuk beribadah kepadaKu” di dalam Al-Quran.

9. Ramai juga yang mungkin bersetuju jika ruangan yang begitu terhad ini diisi dengan proses muhasabah diri. Memuhasah diri dalam ruang lingkup “koma” bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi kebanyakan usia “koma” manusia memperlihatkan seseorang manusia itu mempunyai sosok badan yang tegap, rambut yang lebat, dada yang bidang, pinggul yang menawan, fikiran yang cerdas, jasmani yang cergas, serta kekuatan deria yang tajam.

10. Justeru, proses memuhasabah diri dalam usia “koma” ini memerlukan prinsip-prinsip yang mesti dipatuhi dan dihormati seperti tawadhu’, mengakui kelemahan dan kesilapan, serta sentiasa meneladani contoh yang baik bagi mengelakkan kesilapan lalu.

11. Saya punyai kisah tersendiri dalam sisi koma kehidupan saya. Saya cuba ukirkan seribu impian dalam nafas dan sanubari hati untuk menggapai impian itu menjelang usia akhir saya. Namun, kadangkala, ruang “koma” kehidupan mempunyai aturan sistem yang telah dikawal takdirnya oleh Tuhan yang Maha Berkuasa. Benar, apa yang dihajati 10 tahun yang lalu berbeza dengan apa yang dimiliki hari ini. Dan begitu jugalah apa yang diimpikan hari ini belum tentu terjadi 10 tahun akan datang. Sisi “koma” kehidupan kadangkala menjadi pacesetter kepada angan-angan kita yang dahulunya lain mengikut percaturan yang telah dilakarkan oleh Tuhan.