Bukanlah Awan Nano

Posted: Mac 29, 2012 in Uncategorized

Image

1. Saya merenung di luar beranda. Jauh nun di sana ternampak kerdipan lampu di sebalik bangunan-bangunan sederhana besar di wilayah ini. Di dalam rumah, biasa-biasa sahaja. Saya tidak punyai barangan yang banyak. Tiada karpet yang terhampar mewah, tiada pembesar suara yang sedap di dengar bersama televisyen 70 inci yang asyik di tonton, tiada pendingin hawa yang enak dinikmati.

2. Seketika, saya terpandang sesuatu yang aneh di langit. Ada sekelompok awan yang sedikit putih warnanya. Ia berarak perlahan. Sedikit mendung. Mungkin sahaja kerana wilayah ini sejak kebelakangan sering sahaja mengalami hujan panas yang tidak menentu. Awan itu bukanlah awan nano yang setia meneduhi diri manusia tanpa menggores pipi. Bukanlah jua awan nano yang tak terduga hadir dan tak akan tercapai oleh pandangan manusia.

3. Awan itu seolah-olahnya merenungi nasib dirinya yang dirundung pilu. Berarak sendirian tanpa ditemani temannya yang lain. Di saat langit semakin pekat, ia tetap berarak berseorangan menuju ke destinasi yang ia sendiri tidak pasti. Awan itu menyusuri gelap malam ke arah timur merentasi sungai dan denai. Sesekali ia menoleh ke bawah mencari hidupan untuk dilindungi. Malangnya, semua telah di alam mimpi.

4. Ia tahu ia hanyalah sekadar awan. Ia tidak berjasad dan berfizikal lengkap seperti makhluk ciptaan tuhan yang lain. Ia hanyalah gumpalan udara dan air serta gas-gas yang terhimpun di dalam badannya. Ia cuba mencari teman. Namun seringkali gagal. Apatah lagi di malam yang kelam sebegini, sudah pasti tiada apa yang boleh dicari.

5. Saya memerhati dengan penuh asyik akan gumpalan itu. Seolah juga memahami perasaan gumpalan awan itu, saya cuba menyerunya agar ia kekal ditempat asalnya. Saya cuba berbisik kepadanya bahawa kehidupan sememangnya begini. Seperti manusia, makhluk yang lain juga akan hadir dan pergi. Hidup dan mati. Tiada apa yang kekal melainkan sang pencipta.

6. Saya merasai perasaannya yang begitu hiba. Ia benar-benar perlukan teman. Ia penat untuk hidup sendirian. Apatah lagi dengan sifat semulajadinya itu, ia hanya muncul di waktu malam. Apatah juga ia tidak punya kudrat apa-apa untuk bertegur sapa dengan makhluk yang lain. Sungguh saya memahami citra dan jiwa awan itu.

7. Akhirnya perlahan-lahan ia pergi. Seperti dan seakan kecewa dengan penantiannya yang begitu lama. Ia membawa hatinya yang lara. Ia tidak pergi jauh. Cuma berarak ke sisi yang lain sementara menantikan sang mentari muncul menandakan tamatnya penantian yang begitu mulia dan penuh bererti.

8. Perlahan-lahan saya menarik tirai dan pintu berlapis. Mengunci pintu seraya berkata dalam hati “Ah, itu hanyalah awan”…. saya terus ke kamar dan mengakhiri malam ini dengan lafaz salam kepada awan tersebut – hanyalah di dalam hati.

Advertisements

SEPI

Posted: Mac 28, 2012 in Uncategorized

Kelam

Langit di luar masih gelap gelita

Pudar bayang tiada seri warnanya

Sedang malam terus asyik melabuh tirainya

Seorang hamba murung berduka

Berteleku sendirian di sudut yang terpencil

Merindui sosok tubuh yang mugil

Menghitung masa ketika dipanggil

Hatinya resah sirna nestapa

Jiwa miliknya hilang dibawa ke mana-mana

oleh sepi malam yang kian lama

Hatinya tidak lagi disitu

sadar bahawa masa semakin berlalu

Ia tahu cintanya benar

Sesuci mawar semakin segar

Ia terus mengharap meski di sebalik malam gelap

agar cahaya menjadi pelengkap,

Selamat malam sepiku..

.Image

 

 

Ia Milik Tuhan

Posted: Mac 27, 2012 in Nukilan Hati

 

1. Siapa yang boleh menyangkal bahawa Tuhan memiliki segala-galanya? Ada beberapa patah melayu sering juga menyebut tentang sejauh mana pun kesungguhan manusia menggapai impian mereka, pada akhirnya tuhan yang menentukan semua. Antaranya adalah pepatah “Kita merancang, Tuhan menentukan”.

2. Manusia harus sedar bahawa apa yang dimilikinya adalah pinjaman. Dengan erti kata lain manusia hanyalah menumpang apa yang bukan miliknya. Bahkan, nyawa yang menduduki jasadnya juga adalah satu pemberian yang akan diambil semula oleh tuhan. Kerana itu jualah, tuhan berfirman “Kullu Nafsin Zaa’iqatul Mawt” – Setiap yang bernyawa pasti menempuhi maut.

3. Mencari makna apa yang dimiliki bukanlah sesuatu yang mudah. Begitulah juga apabila kita mentafsir nikmat pinjaman yang dianugerahkan tuhan. Kita pasti mendapati bahawa ia tidak selama-lamanya sempurna. Mata, telinga, hidung, kulit, deria dan lain-lain nikmat akan ditarik semula apabila tiba masanya kelak.

4. Mata akan rabun bila tiba masanya, rambut akan putih beruban apabila sampai waktunya, kulit akan mengendur, sendi dan urat akan lemah, daya ingatan semakin tumpul, perasaan menjadi sensitif, lantas perlahan-lahan apa yang dimegahi selama ini akan turut hilang dimamah usia.

5. Begitulah jua perihalnya fizikal dan material yang lain. Bangunan dan tanah, rumah dan kedai, pejabat yang besar dan gudang yang serba mewah – akhirnya tidak akan kekal lama. Paling tidak ia mungkin bertahan selama 10 tahun, 50 tahun, 100 tahun atau paling lama mungkin 200 tahun. Angka ini hanyalah tempoh yang sangat singkat jika dibandingkan waktu di alam yang seterusnya kelak.

6. Perasaan dan hati, dalam aspek ini juga tidak terkecuali. Tuhan adalah pencipta hati. Tuhan jua yang memakmurkan hati dengan pelbagai variasi perasaan – cinta, kasih sayang, benci, geram dan sebagainya adalah antara warna warni perasaan yang dicampakkan tuhan ke dalam sanubari manusia.

7. Tiada siapa boleh menafikan juga betapa perasaan adalah sangat instrumental kepada kehidupan manusia. Setiap hari apabila kita berhadapan dengan pelbagai ragam dan karenah kehidupan, kita akan merasai pelbagai perasaan yang bermain-main dalam hati kita.

8. Namun, tuhan sebagai pencipta hati dan perasaan jauh lebih berkuasa. Kerana itu jua tuhan berfirman “Innal Insaana Khuliqa Haluu’a” – Sesungguhnya manusia dicipta dalam keadaan keluh kesah. Hakikat ini membuktikan manusia tidaklah mengawal diri mereka; apatah lagi berkuasa untuk menentukan perasaan yang dialaminya.

9. Tuhan memberikan perasaaan sebagai tanda kasihnya kepada manusia. Justeru, rasa kehambaan seperti bersyukur, berterima kasih, rendah diri, takut, zuhud dan sebagainya adalah antara variasi jiwa yang mesti ada pada diri manusia walau sebaik atau sejahat mana pun sifat yang dimilikinya.

10. Rasa takut kehilangan orang yang disayangi, atau harta yang dimiliki, adalah satu lumrah. Tuhan boleh memberi dan menariknya pada bila-bila masa. Malah, perasaan itu boleh dibolakbalikkan tuhan pada ketika yang dikehendakiNya.

11. Masa yang dilalui kini adalah rentetan panjang perjalanan kehidupan masa akan datang.Bersabar dan terus mengharapkan rahmat tuhan adalah penawar mujarab menghilangkan kesedihan dan lara duka akibat kehilangan. Semoga terus gagah melangkah di masa mendatang. Semoga jari ini terus gagah menari-nari berpencak di alam maya. Semoga terus gagah berjalan dan berlari menuju ke destinasi impian yang dicari.

WMH | 27.03.2012 | 3.30 pagi

Sandwich

Posted: Mac 26, 2012 in Uncategorized

1. Di Malaysia, sandwich adalah makanan yang cukup popular. Selain dimakan pada waktu pagi sebagai sarapan mengisi perut, sandwich turut dimakan pada waktu petang. Tidak kira peringkat usia, sandwich amat digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

2. Hanya menggunakan sekeping roti dan apa sahaja inti sama ada bawang, kacang, mentega, daging, ayam dan sebagainya, sandwich yang mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi untuk memberikan tenaga kepada badan manusia bagi menjalankan aktiviti harian adalah juga sinonim dengan tuna atau sardin. Ramai yang menggemari pembuatan sandwich melalui kaedah ini.

3. Rakyat moden di negara ini sebenarnya semakin suka kepada makanan yang mudah disediakan dan senang dinikmati seperti sandwich. Hakikat ini berlaku kerana pelbagai faktor yang mendesak. Antaranya adalah kerana kesibukan bekerja seharian, waktu lapang yang tidak mencukupi, di samping kemunculan jenama-jenama baharu produk makanan segera yang semakin bertambah di pasaran tempatan dan antarabangsa.

4. Benarlah kehidupan manusia alaf baharu ini menggesa masyarakat untuk hidup dalam serba serbi kemudahan. Bahkan, corak dan gaya moden ini turut memberi impak kepada natijah kehidupan fitrah manusia dalam keluarga, hubungan dengan ciptaan serta mengendurkan rasa erti kehambaan hamba dan tuhan.

5. Beberapa dekad yang lalu, jika di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, hidangan nasi berlauk dan makanan tradisional lain seperti nasi kerabu dan nasi dagang menjadi pilihan utama bagi para ibu untuk dihidangkan kepada seisi keluarga. 

6. Kebiasaannya, usai menikmati sarapan, aktiviti berkebun di ladang, menoreh getah di kebung serta turut memukat di laut dan menahan tauk di tepian sungai menjadi pilihan di hujung minggu. Apapun, itu adalah cerita beberapa dekad yang lampau. Kini, manusia moden sudah meninggalkan jauh budaya itu.

7. Ada beberapa patah melayu juga pernah menyebut bahawa air tangan seorang ibu atau seorang isteri adalah lebih bermakna dan signifikan kepada keluarga. Cerita sebegitu kini hanyalah skrip yang hanya tinggal skrip sahaja. Tuntutan tugas yang memerlukan kepantasan serta ketangkasan dalam menghambat kehendak dunia dan alam siber yang semakin menggila menjadikan manusia lebih suka kepada apa-apa sahaja yang bersifat segera.

8. Sandwich, dalam hal ini, walau bagaimanapun tidaklah bersalah. Sandwich hanyalah sejenis makanan yang biasanya dimakan oleh orang-orang barat yang tidak kurang faedah dan khasiatnya kepada manusia. Bukanlah soal sandwich yang sedap atau tidak yang menjadi taruhan. Keikhlasan serta kesungguhan kita menyajikan sesuatu untuk orang yang tersayang adalah lebih utama daripada kemampuan kita memberikan segala bentuk material yang akhirnya mungkin sahaja tidak menatijahkan apa-apa.

9. Selamat sore di petang isnin bersama hidangan sandwich buatan tangan sendiri~Image 

Di Sebalik Kubah Itu…

Posted: Mac 26, 2012 in Uncategorized

1. Kubah itu sungguh menarik. Ia bukan sebarang kubah. Ia adalah lambang pentadbiran sebuah kerajaan yang besar. Kubah itu meneduhi beberapa buah lagi bangunan yang lain. Ia simbol kepada kekuasaan dan pemerintahan sebuah negara berdaulat. Ada tasik di bahagian belakangnya. Tasik ini tidaklah begitu besar dan panjang alurnya. Ia cukup untuk mengelilingi bulatan besar yang mengelilingi kubah itu.

2. Ada yang lebih menarik berbanding kubah besar itu. Ia adalah sebuah bangunan sederhana besar yang menyimpan seribu rahsia kepada mereka yang mengetahui. Tempat pertemuan dan bermulanya sebuah kisah panjang yang mungkin tidak wujud di alam nyata. Bangunan di sebalik kubah itu juga dialiri sungai yang menyusur di bahagian timurnya. Ada taman-taman kecil yang cukup saujana mata memandang.

3. Kata beberapa orang lama, taman kecil itu dihuni oleh seorang puteri bunian yang dahulunya memiliki tanah dan perkampungan disekitar itu. Sejauh mana kebenaran tersebut, hanya tuhan yang lebih mengetahui. Ada juga beberapa cerita daripada orang-orang yang biasa melalui taman-taman kecil itu terserempak dengan puteri bunian itu. Apapun, itu mungkin hanyalah rekaan dongeng untuk tujuan menakut-nakutkan orang untuk mendekati bangunan tersebut.

4.  Kini bangunan itu sudah semakin moden, Sudah ada dewan yang cantik di dalamnya. Sudah ada beberapa gelanggang-gelanggang permainan dan juga jambatan unik yang merentasi sempadan kubah dan bangunan tersebut. Sebelum ini saya beberapa kali berkesempatan untuk meninjau-ninjau apa yang ada pada bangunan di sebalik kubah itu. Namun gagal mencari apa rahsia yang sering diperkatakan orang itu.

5. Semoga satu hari nanti kebenaran disebalik kubah itu akan muncul.. dan bunian yang masyhur diperkatakan itu akan tampil menunjukkan diri.

Image